Kick Ass Review
Aku bukan menyumpah seranah, memaki hamun ataupun menyimpan rasa geram kat orang sehingga aku menulis Kick Ass or Kick your A**. Kawan aku tanya, apasal nama movie tu macam tu?
Movie bergenrekan action-comedy superhero ini diadaptasi daripada buku komik dengan tajuk yang sama, ditulis oleh Mark Millar dan John Romita, Jr. Filem ini diarahkan oleh Matthew Vaughn, diterbitkan oleh seorang aktor kacak Hollywood, Brad Pitt selaku penerbit bersekutu. Penulis layar bagi filem ini adalah Jane Goldman yang juga penulis layar bagi filem Stardust (2007)
Filem ini cuba untuk mengangkat tema superhero, namun lebih bercorak komedi gelap (My Super Ex-Girlfriend) dan lebih semasa. Berbezanya, filem ini langsung tidak mempunyai kaitan dengan super power ataupun watak-watak yang memiliki kuasa luarbiasa. Kisah yang ditampilkan adalah mengenai remaja biasa, Dave Lizewki (diperan oleh Aaron Johnson, pelakon berdarah Inggeris), yang bercita-cita untuk menjadi adiwira tetapi akhirnya terperangkap di dalam pertelingkahan diantara Big Daddy (Nicholas Cage) terhadap seteru lamanya, Frank D'Amico (Mark Strong) yang merupakan raja dadah yang sangat kejam. Big Daddy, merupakan seorang bekas polis yang bersih dan akhirnya telah dimalukan oleh Frank D'Amico sewaktu berkhidmat dengan memerangkap beliau. Rasa dendam terhadap Frank menyebabkan beliau melatih anak perempuannya yang berumur 11 tahun menjadi pembunuh yang kejam, bernama Hit-Girl (Chloe Grace Moretz).
Pendek cerita, adiwira bernama Kick Ass yang kebetulan menjadi satu fenomena, setelah orang ramai menyaksikan aksinya melalui Youtube yang berjaya menumpaskan penjenayah, dipergunakan oleh pelbagai pihak untuk mencapai tujuan sebenar.
Plot cerita yang diatur kemas dan permainan watak oleh Aaron Johnson sebagai adiwira yang bodoh alang begitu meyakinkan dan dibantu oleh watak-watak yang menjadikan filem ini lebih menarik. Tema yang cuba diangkat juga meletakan filem ini mungkin mencapai carta pecah panggung. Tapi malangnya kontroversi yang melibatkan watak lakonan Chloe yang menjadi adiwira yang tidak berhati perut kerana sebahagian besar babak memaparkan aksi ganas (potong-momotong, tetak-menetak) padahal Hit-Girl cuma berumur 11 tahun dan realitinya juga Chloe berumur 12 tahun. Seorang gadis digambarkan sebegitu kejam menyebabkan cerita ini tidak sesuai untuk ditonton oleh kanak-kanak biarpun dipantau oleh ibu bapa. Oh ya... Chloe juga mencarut...
Bagi peminat filem aksi yang sejati, filem ini mungkin sesuai untuk anda.
Plot = B+
Lakonan = B
Sinematografi = B+